Tindakan SPRM Berhubung Penyelewengan Dana Luar Bandar Sabah Wajar Dialu-alukan

Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung dakwaan penyelewengan dana pembangunan infrastruktur luar bandar di Sabah harus dialu-alukan, bukan dipesongkan dengan teori ‘witch hunt’ dan ‘occupational hazards’, kata Exco Pemuda UMNO Datuk Armizan Mohd Ali.

Malah katanya semua pihak wajar memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM meneruskan siasatan memandangkan isu berkenaan melibatkan kepentingan ratusan ribu rakyat luar bandar di Sabah.

“Paling penting siasatan ini melibatkan dana awam yang cukup besar. Ia satu kezaliman dan pengkhianatan kepada rakyat khususnya di luar bandar,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Armizan yang juga Ketua Pemuda UMNO Papar, berkata acap kali kerajaan persekutuan didakwa menganaktirikan Sabah sedangkan ribuan juta yang disalurkan menerusi agenda Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk Luar Bandar, inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejak 2010, tidak dijaga dengan amanah.

Lebih menyedihkan, penyelewengan itu didakwa melibatkan anak-anak Sabah sendiri dan jumlah penyelewengan yang disiasat amat besar mencecah bilion ringgit, katanya.

“Berapa ramai rakyat luar bandar di Sabah yang dizalimi dan dinafikan hak akibat penyelewengan ini,”katanya.

Menurutnya peruntukan besar NKRA Luar Bandar yang diberikan oleh kerajaan pimpinan Najib itu sepatutnya boleh menyelesaikan isu bekalan air dan elektrik untuk ratusan ribu masyarakat luar bandar di Sabah bagi tempoh 2010 hingga 2015.

Pada masa yang sama beliau meminta kementerian yang terpalit dengan siasatan itu memberi penerangan kepada rakyat Sabah mengenai langkah yang diambil untuk mengekang kes penyelewengan peruntukan luar bandar ini daripada berulang.

Katanya tindakan drastik perlu dilaksanakan untuk membetulkan persepsi bahawa Laporan NKRA Luar Bandar kementerian tersebut hanya cantik di atas kertas tetapi nilai dan maknanya menimbulkan persoalan.