RM700,000 Selenggara Jalan Kebun Penduduk Di Parlimen Pensiangan – Kurup

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata kerajaan memperuntukkan RM700,000 bagi membiayai pembinaan jambatan dan penyelenggaraan jalan masuk ke kebun-kebun penduduk di seluruh kawasan Pensiangan sehingga September lepas.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM188,000 dibelanjakan untuk penyelenggaraan jalan kebun di Kampung Namadan, RM186,590 di Kampung Liposuk, RM167,298 di Kampung Magatang dan RM121,250 ke Kampung Johan Jaya.

“Semua ini, saya lakukan untuk memberi kemudahan kepada pekebun bagi membawa hasil mereka untuk dipasarkan ke bandar,”katanya ketika berucap pada majlis Hello Sawit Pensiangan dan perasmian Pusat Timbang Koperasi Penanam Sawit Mapan Keningau Berhad di Kampung Delayan Sook hari ini.

Turut hadir Pengerusi Koperasi Penanam Sawit Mapan (KPSM) Keningau Datuk Justin Guka, Pengarah Bahagian Penyelidikan Integrasi dan Pengembangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr. Ramle Moslim dan Naib Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Zazali Haron.

Kurup berkata kerajaan sentiasa mendengar keperluan rakyat khususnya mereka yang terlibat dalam sektor pertanian dan lebih banyak peruntukan akan disalurkan untuk menyelesaikan masalah golongan itu.

Sementara itu, Kurup yang juga Anggota Parlimen Pensiangan berkata kerajaan melalui MPOB melaksanakan pelbagai program membabitkan pekebun kecil persendirian yang mengusahakan tanaman sawit bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka.

“MPOB menyediakan Skim Tanam Baru Sawit Pekebun Kecil (TBSPK), Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK), Skim Insentif Integrasi Tanaman Sawit (ITa) dan Skim Insentif Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe),”jelasnya.

Beliau berkata peruntukan bernilai RM9,000 disediakan kerajaan melalui MPOB kepada pekebun yang terlibat dalam penanaman semula dan penanaman baru sawit mereka dengan pemberian benih berkualiti tinggi, baja, insentif tunai untuk penyediaan kawasan dan penanaman serta bahan kimia untuk kawalan rumpai dan perosak selama dua tahun.