Penyamun Maut Selepas Bergelut Dengan Tuan Rumah

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah yang mengesahkan kejadian berkenaan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi di kawasan perumahan Felda berkenaan melibatkan si mati yang juga merupakan penduduk tempatan. Seorang lelaki yang dipercayai telah memecah masuk sebuah rumah didapati maut selepas bergelut dengan penghuni rumah tersebut di Felda Simpang Waha awal pagi tadi.

Jelasnya, dalam insiden itu, berlaku pergelutan dimana penghuni rumah tersebut bertindak melindungi diri dan keluarga berikutan tindakan lelaki berusia 30-an berkenaan yang didakwa telah memcah masuk ke dalam rumahnya.

“Dalam kejadian itu, penghuni rumah berkenaan telah bergelut dengan lelaki tersebut dan si mati telah meninggal dunia. Bagaimanapun siasatan mendapati tiada sebarang kecederaan luar.

“Semakan juga mendapati si mati turut memiliki lebih lima rekod jenayah lampau. Siasatan kita pada masa ini menjurus pada kematian mengejut (SDR) dan juga Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun,”katanya yang dipetik dari laporan Sinar Harian.

Beliau meminta orang awam untuk memberikan masa kepada pihak polis bagi membuat siasatan lanjut kejadian tersebut.