Pelajar Polisas jadi mangsa Air Terjun Berkelah

Seorang pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) ditemui lemas di Air Terjun Berkelah di sini, semalam.

Mayat Muhammad Ashraf Amran, 19, ditemui kira-kira jam 6 petang di tingkat satu air terjun itu setelah dilaporkan lemas ketika mandi bersama rakan-rakan jam 3.15 petang.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba Taman Tas, Mohd Zaki Mokhtarmin berkata, mayat mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat selepas gerakan mencari dilakukan melibatkan bomba, polis dan Angkatan pertahanan Awam Malaysia (APM).

Difahamkan mangsa bersama tujuh rakan datang ke hutan lipur itu untuk beriadah sempena cuti hujung minggu dengan menaiki motosikal.

Mereka tiba kira-kira jam dua petang dan sempat mandi-manda sebelum aktiviti mereka terbantut akibat hujan.

Bagaimanapun kejadian berlaku selepas mangsa mengambil keputusan untuk mandi sekali lagi sebelum bertolak pulang.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat.