Jenazah Budak Ditemui Dalam Tong Ikan Selamat Dikebumi

PENGALI kubur, Muin Mohd Said meratakan tanah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Dalam, Sungai Lalang selepas selesai pengebumian kanak-kanak lelaki dua tahun yang mati akibat didera teman lelaki ibunya di Flat Paya Nahu, Sungai Petani. – Foto Amran Hamid

SUNGAI PETANI: Jenazah kanak-kanak lelaki dua tahun yang mati akibat didera teman lelaki ibunya di Flat Paya Nahu, di sini, selamat dikebumikan pagi tadi.

Jenazah kanak-kanak malang terbabit dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang Dalam, Sungai Lalang, di sini, dengan dihadiri kaum keluarga sebelah ibu mangsa.

Difahamkan, nenek mangsa menuntut jenazahnya yang sudah menjalani bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini kira-kira jam 7 pagi tadi.

Kanak-kanak lelaki terbabit disahkan meninggal dunia sejak 9 November lalu, dengan mayatnya yang sudah reput disembunyikan suspek dalam tong ikan yang disimpan dalam satu bilik di rumah berkenaan.