Datuk Aznil Nawawi Ingin Keliling Sekolah Satu Malaysia Perkasa Kemahiran Berkomunikasi Di Kalangan Pelajar

Kehebatan Datuk Aznil Haji Nawawi dalam bidang pengacaraan dan juga komunikasi tidak boleh dipertikaikan. Abang Nara masih teringat bagaimana Pak Nil dapat membuatkan para penonton Akademi Fantasia turut mengalirkan air mata setiap kali ada peserta yang tersingkir. Malah keupayaan beliau turut diakui apabila dilantik menjadi pengacara Sukan SEA 2017 baru-baru ini. Jadi apabila Pak Nil merancang untuk memperkasakan kemahiran berkomunikasi di kalangan para pelajar, memang Abang Nara setuju sangat-sangat.

Pada pandangan Abang Nara rakyat Malaysia terutama golongan belia zaman sekarang memang kurang pandai dalam melontarkan pendapat. Ramai kawan-kawan Abang Nara yang kecewa apabila generasi muda ini datang temuduga di tempat kerja tanpa sebarang persediaan. Bercakap pun sambil garu-garu kepala. Tergagap sana sini. Bila ditanya soalan tak boleh jawab dan sebagainya. Memang agak memalukan.

Saya sudah mempunyai idea ini sejak sekian lama dan sedang bekerja rapat dengan agensi kerajaan bagi merialisasikan impian itu. Apa yang saya lihat sekarang ramai generasi baru terutamanya lepasan universiti tiada kemahiran komunikasi dan fikiran kritikal ketika ditanya soalan semasa proses temuduga membuatkan mereka gagal mendapat pekerjaan.

Sebab itu saya ingin keliling Malaysia, pergi ke sekolah-sekolah, mula dari pelajar sekolah rendah untuk dedahkan kepada mereka mengenai kepentingan komunikasi dan interaksi dalam melontarkan pertanyaan, jawapan malah pendapat.

Jika kita lihat senario sekarang banyak anak kita yang bukan sahaja sanggup memaki hamun pemimpin tetapi tanpa rasa bersalah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ahli agama dan ibu bapa. Ada pula yang sanggup memukul ibu sendiri!

Sampai bila kita hendak biarkan keadaan ini berlaku? Takkan hendak tunggu mereka berani hina nabi ke? Sebab itu saya ingin adakan kempen ini dalam mengasah kebolehan berkomunikasi dan melontarkan pendapat, menyuarakan pandangan mereka tetapi dengan adab dan cara yang betul.